ads

ads

Thursday, August 6, 2015

Najib akan diminta memberikan penjelasan kepada SPRM

Derma RM2.6 bilion: Najib akan diminta beri penjelasan
Najib akan diminta memberikan penjelasan kepada SPRM berhubung sumbangan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan kepada agensi itu berhubung sumbangan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Menurut agensi berkenaan, SPRM sudah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal dari Asia Barat dan pihak berkaitan juga sudah mengesahkan mengenai derma berkenaan.

Bagaimanapun, identiti penderma berkenaan tidak dapat didedahkan.

"SPRM telah mendapat tahu tentang butir penderma melalui dokumen yang diambil dari bank dan didapati bahawa terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun YAB Perdana Menteri.

"Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma," menurut agensi itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, SPRM juga meminta orang awam agar tidak keliru antara siasatan melibatkan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ujarnya, SPRM hanya terlibat dalam menyiasat isu SRC International sementara isu 1MDB akan disiasat sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, isu SRC International melibatkan dana RM4 bilion juga masih dalam siasatan agensi berkenaan dan ia adalah siasatan berasingan dengan dana RM2.6 bilion.

"SPRM mahu menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini  telah ditutup. Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB," katanya.

Tambahnya, sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa ada rasa takut atau pilih kasih.

Selain itu, agensi itu turut menjelaskan kenapa pengumuman pada 3 Ogos lalu dibuat berasingan tanpa penglibatan Pasukan Petugas Khas atas nasihat Peguam Negara.

"SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia, bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas. Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, setiap agensi yang terlibat mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya.

Pada 3 Julai, akhbar Amerika Syarikat The Wall Street Journal dalam laporannya mendedahkan dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) telah dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi Perdana Menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Susulan itu, kerajaan telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, PDRM dan SPRM untuk memulakan siasatan ke atas isu 1MDB.

Berikut adalah kenyataan penuh SPRM yang dikeluarkan hari ini:

SPRM




credit to aa

Unknown

I am a full time blogger and have started since 2010.This blog provides current information on the world of gadgets.Thank you for your time to visit my blog

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright @ 2013 its All about world.